Tuesday, December 21, 2010

Dividen ASB 2010 7.50%, Bonus 1.25%

















KUALA LUMPUR: Para pemegang unit skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen lebih tinggi 7.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2010, iaitu lebih tinggi daripada 7.30 sen yang diisytiharkan pada tahun lepas.

Pemegang unit seramai 7.04 juta, yang kini memegang lebih 82.72 bilion unit ASB, akan turut menerima bonus 1.25 sen, yang sama dengan tahun lepas.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bahagian agihan pendapatan itu melibatkan pembayaran keseluruhan RM5.93 bilion dan RM603.34 juta bagi bahagian bonus.

Sehingga Jumaat lepas, katanya skim itu mencatatkan pendapatan kasar RM6.58 bilion.

"Pendapatan dividen dari syarikat penerima pelaburan menyumbang RM3.27 bilion atau 50 peratus daripada pendapatan kasar dan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM2.78 bilion atau 42 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman dividen itu di sini.

Sementara itu, baki pendapatan 8.0 peratus atau RM0.53 bilion diperolehi daripada pelaburan di dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata perolehan ASB tahun ini disokong oleh peningkatan sumbangan dividen anak-anak syarikatnya terutama Malayan Banking Bhd (Maybank), iaitu sebanyak 55 sen berbanding 8.0 sen tahun sebelumnya.

Sumbangan dividen daripada Sime Darby Bhd pula menyusut kepada 10 sen daripada 20.3 sen pada 2009.

"Dari segi pendapatan tahun lepas, dividen adalah kurang daripada 50 peratus, tetapi tahun ini kita dapat mencapai 50 peratus hasil daripada pulangan dividen daripada syarikat-syarikat yang kita labur.

"Prestasi tahun ini agak bernasib baik walau pun Sime Darby membayar kurang daripada tahun lalu tetapi kita mendapat dividen yang tinggi daripada Maybank yang telah beransur pulih," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Sime Darby yang kini menyusut, Hamad Kama Piah berkata, "Kita sentiasa mengharapkan prestasi syarikat-syarikat kita akan bertambah baik. Kalau kita lihat prestasi Sime Darby sendiri mereka telah menganggarkan keadaan akan lebih baik pada masa hadapan dan kita harapkan ini dapat membantu kita mendapat pulangan yang lebih baik." - BERNAMA

Saturday, December 18, 2010

Emas / Ar-Rahnu / ASB

Tentu ramai pelabur-pelabur ASB tertunggu-tunggu pengumuman dividen ASB/ASN yang akan diumumkan tidak berapa lama lagi. Harap-harap ia tidak mengecewakan.

Dalam masa yang sama, diperhatikan bahawa harga emas telah menurun dari USD1432.00 kepada USD1376.20 pada hari Jumaat lepas. Penurunan adalah melebihi USD50.00.

Mungkin ada diantara pelabur emas ingin mengambil kesempatan untuk membeli atau menambah aset emas yang sedia ada, tetapi kekurangan modal. Bagi mereka yang sudah mempunyai koleksi / simpanan dalam tangan, inilah masanya untuk gunakan khidmat Ar-Rahnu untuk mendapatkan modal atau sebahagian dari modal. Kebiasaannya Ar-Rahnu memberi pinjaman sebanyak 65% hingga 70% dari nilai emas yang dicagarkan dengan upah simpan yang berpatutan.

Pajakkan emas yang ada ditangan. Pinjaman sebanyak 65% / 70% gunakan untuk membeli emas tambah aset. Tebus kembali dengan dividen ASB yang akan diperolihi nanti. Cuma sebulan sahaja upah simpan yang dikenakan.

Teruskan melabur.

Thursday, December 16, 2010

Penangguhan Urusan ASN/ASB 2010

Penangguhan urusan ASB akan bermula dari 20 Disember hingga 2 Januari, manakala penangguhan urusan ASN akan bermula dari 27 Disember hingga 2 Januari. Penangguhan ini adalah untuk pengiraan dividen atau pengagihan pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2010.

Kedua-dua urusan akan beroperasi seperti biasa mulai 3 Januari 2011.

Tentu masing-masing tertunggu-tunggu berapakah dividen dan bonus ASB tahun ini.....

Tungguuuuu.......