Wednesday, January 19, 2011

Bonus Tabung Haji 5 peratus

PUTRAJAYA 3 Feb. - Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus pendeposit lima peratus untuk tahun kewangan 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kadar itu merupakan tambahan 2.75 peratus bagi separuh tahun kedua 2009 kepada bonus interim dengan jumlah anggaran keseluruhan bayaran sebanyak RM1.1 bilion.

Pemberian bonus interim bagi separuh tahun pertama pada kadar 2.25 peratus (RM465 juta) dibuat Oktober tahun lalu.

"Baki bonus 2.75 peratus (RM595 juta) ini akan dimasukkan ke akaun 5.1 juta pendeposit pada 8 Februari ini.

"Sekiranya diteliti kadar bonus ini, jelas ia lebih kompetitif malah jauh lebih baik berbanding kadar simpanan tetap dan tabungan komersial.

"Ini kerana Tabung Haji berjaya mengekalkan kadar bonusnya pada 2009 dan tahun sebelumnya dalam suasana kadar pasaran dan keuntungan deposit di perbankan komersial yang menurun sejak 2008," katanya pada sidang akhbar di sini.

Jamil Khir berkata, 2009 sekali lagi menyaksikan Tabung Haji berjaya merekodkan keuntungan selepas zakat melepasi RM1 bilion buat kali ketiga berturut-turut sejak 2007.

Katanya, pendapatan dan keuntungan selepas zakat Tabung Haji masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion telah meningkat pada kadar 12 peratus berbanding 2008.

Menurut beliau, sumber pendapatan utama Tabung Haji terdiri daripada keuntungan urusniaga saham yang menyumbang 49 peratus, dividen (19 peratus), keuntungan bon Islam (10 peratus), keuntungan pasaran wang (lapan peratus), sewaan (tujuh peratus), keuntungan jualan hartanah dan aset (lima peratus) dan lain-lain dua peratus.

"Dari sudut perbelanjaan pula, kos pengurusan operasi Tabung Haji untuk 2009 telah mengambil kira kos tanggungan langsung haji sebanyak RM54 juta pada 2009 untuk musim haji 1430H," katanya.

Jamil Khir berkata, Tabung Haji pada tahun lalu turut memperuntukkan RM39 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM38 juta pada 2008.

Katanya, zakat perniagaan itu akan diagihkan ke setiap negeri mengikut jumlah purata baki terendah bulanan deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2009.

Kata beliau: "Dari sudut simpanan, dana pendeposit terkumpul untuk 2009 telah meningkat pada kadar 12 peratus iaitu daripada RM20.6 bilion untuk 2008 kepada RM23 bilion.

"Jika diimbas kembali, dana pendeposit Tabung Haji terus menunjukkan peningkatan yang tinggi dan berterusan sejak 2006 dengan peningkatan sebanyak RM9.7 bilion daripada RM13.3 bilion pada awal 2006 kepada RM23 bilion pada akhir 2009," ujarnya.

Peningkatan ini, kata Jamil Khir, menunjukkan keyakinan pendeposit dengan penambahan simpanan sebanyak RM5.9 bilion dan penambahan nilai sebanyak RM3.8 bilion daripada aktiviti pelaburan sejak 2006.

Sumber: Utusan Malaysia

Kita tunggu berapa pula bonus untuk tahun 2010......

No comments: