Saturday, February 4, 2012

Bonus Tabung Haji 2011 Sebanyak 6%


SERAMAI 6.96 juta pendeposit Tabung Haji (TH) akan menikmati pembayaran bonus sebanyak enam peratus bagi 2011 iaitu peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit pada 8 Februari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata peningkatan pembayaran bonus berkenaan berikutan kejayaan TH mengekalkan prestasi kewangannya dengan mencatatkan pendapatan melebihi RM2 bilion untuk tahun kedua, manakala keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion buat kali kelima berturut-turut sejak 2007.

“Kadar bonus pendeposit TH adalah berdaya saing memandangkan profil pelaburan TH terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah saja, namun agensi itu masih berkemampuan memberikan tambahan 0.5 peratus daripada kadar bonus 2010 sebanyak 5.5 peratus.

“Pembayaran bonus pendeposit sebanyak RM1.67 bilion adalah daripada keuntungan tahun semasa, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah bonus pendeposit yang dibayar pada 2010 berjumlah RM1.33 bilion,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawahnya di Putrajaya, semalam. Hadir sama, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Jamil Khir berkata, pendapatan TH tahun lalu berjumlah RM2.2 bilion meningkat sebanyak RM120 juta atau enam peratus berbanding 2010, dengan pertambahan dua kali ganda kadar pendapatan TH sejak 2006.

Menurutnya, ia seiring dengan pertumbuhan saiz dana pendeposit sebanyak 17 peratus berjumlah RM31.70 bilion berbanding RM27.11 bilion pada tahun sebelumnya.

Sumber: hmetro

Tuesday, December 27, 2011

Agihan Pendapatan ASN 6.05 Sen Seunit

KUALA LUMPUR – (27 Disember 2011) - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.05 sen seunit bagi Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.05 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit tahun lalu.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM92.8 juta, yang akan dimanfaatkan oleh seramai 1.2 juta pemegang unit yang melanggan 1.5 bilion unit ASN.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata prestasi ASN sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 secara keseluruhannya adalah lebih memuaskan meskipun pasaran saham dan ekonomi dunia menghadapi suasana yang mencabar akhir-akhir ini.

Dari tempoh di antara 31 Disember 2010 hingga 23 Disember 2011, Indeks FBM KLCI mencatat penurunan sebanyak 1.5 peratus, daripada 1,518.91 mata yang dicatat pada 31 Disember 2010, kepada 1,496.15 mata pada 23 Disember 2011.

Dalam tempoh kewangan yang sama, ASN telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM114.67 juta. Pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM58.71 juta atau 51.2%, manakala pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM43.33 juta atau 37.8%, dan selebihnya iaitu RM12.63 juta atau 11% adalah daripada lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2011, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2011.

Semua urus niaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 27 Disember 2011 sehingga 2 Januari 2012.

Penangguhan urus niaga ini adalah bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2011.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN masing-masing di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 3 Januari 2012.

ASN merupakan dana pertumbuhan harga berubah-ubah yang dilancarkan pada 20 April 1981 dengan objektif menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan.

Sebagai tabung pertumbuhan yang berharga berubah-ubah, perbandingan prestasi ASN dari segi jumlah pulangan keseluruhan (''total return") dan hasil pendapatan ("yield") boleh dilakukan dengan instrumen-instrumen yang mempunyai ciri-ciri dan tahap risiko yang hampir serupa dengan tabung ASN.

Sumber: ASNB

Monday, December 19, 2011

Dividen & Bonus ASB 2011

KUALA LUMPUR, 19 Disember (Bernama) - Pemegang unit Amanah Saham Bumiputra (ASB) akan menerima dividen sebanyak 7.65 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, berbanding 7.50 sen tahun lepas.


Seramai 7.3 juta pemegang saham, yang kini memegang lebih 95.9 billion unit ASB, akan menerima bonus sebanyak 1.15 sen.

Pengurusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan ini melibatkan pembayaran sejumlah RM7.04 billion dan bonus sebanyak RM628.29 juta.

Hingga Khamis lalu, kata beliau sekim itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM7.19 billion.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 billion, atau 56.9 peratus daripada pendapatan kasar, manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM2.2 billion atau 31.3 peratus," katanya pada satu taklimat media disini Isnin.

Baliau berkata baki sebanyak 11.8 peratus, atau RM0.85 billion diraih daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan-pelaburan lain.

Ahmad Sarji berkata pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ini akan dikreditkan secara otomatik kedalam akaun pemegang unit dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing mulai 3 Januari tahun depan.

Semua urusniaga bagi ASB akan ditangguhkan mulai 21 Dis, 2011 hingga 2 Januari 2012, untuk mempermudahkan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus, katanya.

Beliau berkata prestasi ASB dalam tahun 2011 memuaskan meski pun pada suku terakhir tahun ini, pasaran saham telah didagangkan dalam suasana tidak menentu kerana dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi AS dan krisis hutang di Eropah.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB akan memastikan ia bukan sahaja terus membayar dividen saban tahun malah juga menjana pertumbuhan bagi masa depan.

Mengenai pengambilalihan SP Setia Bhd, beliau berkata PNB masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Securiti (SC).

"Kami telahpun mengemukakannya kepada SC dan kami sekarang menunggu kelulusannya," jelas beliau.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan lebih lanjut.

Mengenai perkembangan projek Menara Warisan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Sri Najib Tun Razak dalam belanjawan 2011 tahun lepas, beliau berkata "PNB telah mengemukakan arahan reka bentuk kepada 'pihak bandaraya' dan kami harap bila kami dapat kelulusannya, kami akan umumkannya."

Sumber: BERNAMA

Friday, October 7, 2011

Bajet 2012

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2012 selepas membentangkan Bajet 2012 di Parlimen, hari ini. - Foto Rosdan Wahid
Oct 7, 2011 7:36 pm

Intipati Bajet 2012 yang dibentangkan oleh YAB Dato Sri Najib Tun Razak pada 7hb Oktober 2011

Bajet Rakyat - (Barita Harian)

Perumahan Rakyat
- Pembiayaan Skim Rumah Pertamaku dinaikkan kepada RM400,000
- 15,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat
- Subsidi RM20,000 bagi 10,000 rumah Program Perumahan Mesra Rakyat

Kakitangan Awam
- Struktur gaji lebih baik dengan kenaikan gaji 7-13 peratus
- Kenaikan gaji tahunan antara RM80-RM320 mengikut gred
- Umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun
- Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500

Pesara Kerajaan
- Bayaran khas RM3,000 kepada bekas anggota, duda dan balu polis khas dan polis tambahan
- Kenaikan pencen 2 peratus setahun
- Bayaran bantuan RM500

Sektor Swasta
- Caruman majikan KWSP untuk gaji bulanan di bawah RM5,000 dinaikkan kepada 13 peratus
- Pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi caruman skim persaraan swasta dan anuiti insurans
- Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana skim persaraan swasta

Warga Emas
- Caj pendaftaran pesakit luar percuma di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia
- Diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel

Tangani Inflasi
- Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000
- Penerusan subsidi bil elektrik RM20
- Penerusan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM33.3 bilion

Pelajar
- Yuran sekolah percuma
- Bantuan RM100 untuk semua pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5
- Baucar buku RM200 kepada pelajar IPTA dan

Peneroka FELDA
- FELDA Global Ventures Holdings disenaraikan di Bursa Malaysia untuk jadi syarikat konglomerat global
- Peneroka akan dapat durian runtuh

Text pembentangan Bajet 2012 boleh dilihat di Berita Harian

Thursday, June 23, 2011

BLR Naik Kepada 6.6% - mulai 11 Mei 2011

BLR atau Kadar Pinjaman Asas naik kepada 6.6% setahun, berkuatkuasa mulai 11hb Mei 2011. Maybank masih memberi potongan kepada pinjaman ASB sebanyak 1.65%, menjadikan Kadar Pinjaman Asas ASB sebanyak 4.95% setahun. Dengan kenaikan BLR menyebabkan bayaran balik pinjaman ASB bertambah sedikit.

Jumlah bayaran balik pinjaman ASB untuk tempuh 25 tahun adalah sebagaimana dibawah:
Pinjaman ASB RM50K - RM292.00 sebulan
Pinjaman ASB RM100K - RM583.00 sebulan
Pinjaman ASB RM150K - RM874.00 sebulan
Pinjaman ASB RM200K - RM1165.00 sebulan

Jadual lengkap bayaran balik pinjaman ASB boleh dilihat disini.

Saturday, February 12, 2011

Bonus Tabung Haji 2010 5.50 Peratus

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan pendapatan mencecah lebih RM2 bilion bagi tahun 2010 berbanding RM1.7 bilion untuk tahun sebelumnya, peningkatan 17 peratus.

Berikutan peningkatan pendapatan itu, TH turut mengumumkan peningkatan pembayaran bonus pendeposit kepada 5.50 peratus untuk 2010 berbanding 5.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Ia akan membabitkan pembayaran bonus sebanyak RM1.33 bilion kepada pendeposit, meningkat 24 peratus berbanding RM1.07 bilion pada tahun 2009.

Pada majlis pengumuman prestasi kewangan TH yang cemerlang itu, agensi itu enggan mengulas lanjut mengenai kos mengerjakan haji walaupun terdapat kenaikan kos mengerjakan ibadat itu tahun demi tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Ismee Ismail berkata, jika terdapat kenaikan kos, pihaknya akan memastikan peningkatan itu tidak akan membebankan bakal jemaah haji seperti yang pernah dijanjikan oleh kerajaan.

''Tunggulah, bila tiba masanya,'' kata beliau ketika ditanya sama ada TH telah menyerahkan permohonan kos baru untuk mengerjakan haji kepada kerajaan pada sidang akhbar ketika mengumumkan prestasi kewangan TH di sini hari ini.

Menurut beliau, kos mengerjakan haji bergantung kepada dua komponen penting iaitu kos perumahan atau penginapan dan kos penerbangan.

''Buat masa ini kedua-dua kos itu telah meningkat sebanyak 80 hingga 82 peratus terutamanya membabitkan kos penginapan kerana Masjidil Haram sedang mengalami pembesaran.

''Ini menyebabkan ada jemaah haji yang terpaksa menginap jauh dari Masjidil Haram. Ia berkait dengan teori penawaran dan permintaan, jika apa yang ditawarkan sedikit, tetapi permintaan tinggi, maka kos meningkat,'' kata beliau.

Kos minimum mengerjakan haji pada musim lalu ialah RM9,980 seorang manakala kos sebenarnya ialah RM13,000.

Mengulas mengenai prestasi kewangan TH, Ismee percaya prestasi baik itu dapat dikekalkan pada tahun hadapan memandangkan pemulihan ekonomi negara dan dunia yang semakin baik.

Jumlah pendeposit TH juga semakin ramai iaitu 5.6 juta orang dengan nilai deposit sebanyak RM25.8 bilion pada 31 Disember 2010 berbanding 5.1 juta orang dengan nilai deposit berjumlah RM21.3 bilion pada tahun sebelumnya, kata beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan nilai deposit akan mencecah RM30 bilion pada tahun ini dan menetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk dirinya dengan meningkatkan prestasi kewangan pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor yang mengulas mengenai prestasi kewangan TH memberitahu, TH telah mencatat keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion buat kali keempat berturut-turut.

''Keadaan ekonomi yang kondusif, pelaksanaan pelan perniagaan yang baik dan perbelanjaan yang berhemah, komitmen yang tinggi daripada para jemaah lembaga pengarah, ahli-ahli panel pelaburan, pihak pengurusan serta sokongan padu daripada pendeposit telah membantu TH mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang itu,'' katanya.

Mengulas sumber-sumber utama pendapatan TH, beliau berkata, ia adalah daripada pelaburan ekuiti pada kadar 65 peratus dan daripada angka itu, 19 peratus adalah pendapatan dividen dan 46 peratus adalah daripada keuntungan urusniaga saham.

Penyumbang kedua terbesar ialah pelaburan sekuriti hutang terutamanya bon Islam yang menyumbang 10 peratus pendapatan TH pada tahun 2010.

Keuntungan selepas zakat 2010 berkembang 34 peratus berbanding 2009 manakala kadar pertumbuhan purata tahunan bagi keuntungan selepas zakat sejak 2006 sehingga 2010 adalah sebanyak 24 peratus.

TH memperuntukkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM41 juta bagi tahun 2010 berbanding dengan pembayaran zakat berjumlah RM39 juta pada tahun 2009.

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, January 19, 2011

Bonus Tabung Haji 5 peratus

PUTRAJAYA 3 Feb. - Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus pendeposit lima peratus untuk tahun kewangan 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kadar itu merupakan tambahan 2.75 peratus bagi separuh tahun kedua 2009 kepada bonus interim dengan jumlah anggaran keseluruhan bayaran sebanyak RM1.1 bilion.

Pemberian bonus interim bagi separuh tahun pertama pada kadar 2.25 peratus (RM465 juta) dibuat Oktober tahun lalu.

"Baki bonus 2.75 peratus (RM595 juta) ini akan dimasukkan ke akaun 5.1 juta pendeposit pada 8 Februari ini.

"Sekiranya diteliti kadar bonus ini, jelas ia lebih kompetitif malah jauh lebih baik berbanding kadar simpanan tetap dan tabungan komersial.

"Ini kerana Tabung Haji berjaya mengekalkan kadar bonusnya pada 2009 dan tahun sebelumnya dalam suasana kadar pasaran dan keuntungan deposit di perbankan komersial yang menurun sejak 2008," katanya pada sidang akhbar di sini.

Jamil Khir berkata, 2009 sekali lagi menyaksikan Tabung Haji berjaya merekodkan keuntungan selepas zakat melepasi RM1 bilion buat kali ketiga berturut-turut sejak 2007.

Katanya, pendapatan dan keuntungan selepas zakat Tabung Haji masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.1 bilion telah meningkat pada kadar 12 peratus berbanding 2008.

Menurut beliau, sumber pendapatan utama Tabung Haji terdiri daripada keuntungan urusniaga saham yang menyumbang 49 peratus, dividen (19 peratus), keuntungan bon Islam (10 peratus), keuntungan pasaran wang (lapan peratus), sewaan (tujuh peratus), keuntungan jualan hartanah dan aset (lima peratus) dan lain-lain dua peratus.

"Dari sudut perbelanjaan pula, kos pengurusan operasi Tabung Haji untuk 2009 telah mengambil kira kos tanggungan langsung haji sebanyak RM54 juta pada 2009 untuk musim haji 1430H," katanya.

Jamil Khir berkata, Tabung Haji pada tahun lalu turut memperuntukkan RM39 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM38 juta pada 2008.

Katanya, zakat perniagaan itu akan diagihkan ke setiap negeri mengikut jumlah purata baki terendah bulanan deposit terkumpul sehingga 31 Disember 2009.

Kata beliau: "Dari sudut simpanan, dana pendeposit terkumpul untuk 2009 telah meningkat pada kadar 12 peratus iaitu daripada RM20.6 bilion untuk 2008 kepada RM23 bilion.

"Jika diimbas kembali, dana pendeposit Tabung Haji terus menunjukkan peningkatan yang tinggi dan berterusan sejak 2006 dengan peningkatan sebanyak RM9.7 bilion daripada RM13.3 bilion pada awal 2006 kepada RM23 bilion pada akhir 2009," ujarnya.

Peningkatan ini, kata Jamil Khir, menunjukkan keyakinan pendeposit dengan penambahan simpanan sebanyak RM5.9 bilion dan penambahan nilai sebanyak RM3.8 bilion daripada aktiviti pelaburan sejak 2006.

Sumber: Utusan Malaysia

Kita tunggu berapa pula bonus untuk tahun 2010......