Tuesday, December 27, 2011

Agihan Pendapatan ASN 6.05 Sen Seunit

KUALA LUMPUR – (27 Disember 2011) - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.05 sen seunit bagi Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.05 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit tahun lalu.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM92.8 juta, yang akan dimanfaatkan oleh seramai 1.2 juta pemegang unit yang melanggan 1.5 bilion unit ASN.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata prestasi ASN sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 secara keseluruhannya adalah lebih memuaskan meskipun pasaran saham dan ekonomi dunia menghadapi suasana yang mencabar akhir-akhir ini.

Dari tempoh di antara 31 Disember 2010 hingga 23 Disember 2011, Indeks FBM KLCI mencatat penurunan sebanyak 1.5 peratus, daripada 1,518.91 mata yang dicatat pada 31 Disember 2010, kepada 1,496.15 mata pada 23 Disember 2011.

Dalam tempoh kewangan yang sama, ASN telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM114.67 juta. Pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM58.71 juta atau 51.2%, manakala pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM43.33 juta atau 37.8%, dan selebihnya iaitu RM12.63 juta atau 11% adalah daripada lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2011, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2011.

Semua urus niaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 27 Disember 2011 sehingga 2 Januari 2012.

Penangguhan urus niaga ini adalah bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2011.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN masing-masing di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 3 Januari 2012.

ASN merupakan dana pertumbuhan harga berubah-ubah yang dilancarkan pada 20 April 1981 dengan objektif menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan.

Sebagai tabung pertumbuhan yang berharga berubah-ubah, perbandingan prestasi ASN dari segi jumlah pulangan keseluruhan (''total return") dan hasil pendapatan ("yield") boleh dilakukan dengan instrumen-instrumen yang mempunyai ciri-ciri dan tahap risiko yang hampir serupa dengan tabung ASN.

Sumber: ASNB

1 comment:

Adam Jr said...

6.05 sen???atau 0.06 sen?? penulisan ini memang mengelirukan..minta edit semula