KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia tidak nampak sebarang ancaman serius penularan daripada krisis hutang Eropah memandangkan asas-asas ekonomi negara yang kukuh dan tahap hutang kerajaan yang rendah iaitu sebanyak dua peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
"Bagaimanapun, sekiranya ia menular kepada ekonomi-ekonomi membangun yang lain dan menjadi tidak terkawal, kita perlu menilai semula keadaan," kata Zeti semasa taklimat untuk media di sini Khamis.
"Sistem perbankan kita tidak terlalu terdedah kepada hutang di Eropah," katanya.
Menurut Zeti, Malaysia akan terus menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam suku-suku akan datang.
Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama, katanya, sambil menambah bahawa ramalan setahun penuh bagi KDNK akan diumumkan dalam bajet akan datang.
Zeti berkata dasar monetari mengenai kadar faedah terus bersifat menyokong bagi menggalakkan pertumbuhan, manakala inflasi berkemungkinan kekal rendah.
Kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas hari ini kepada 2.5 peratus sebagai langkah ke arah penstabilan keadaan monetari selanjutnya.
Keputusan dasar berikutnya akan dibuat pada Julai tahun ini.
Mengenai ringgit, Zeti berkata pengeksport tidak harus bergantung kepada kadar pertukaran mata wang untuk berdaya saing.
Kenaikan nilai ringgit bukanlah sesuatu yang benar-benar membimbangkan, katanya sambil menambah bahawa mata wang tempatan itu berada dalam arah aliran menurun dalam dua tahun kebelakangan ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment