Thursday, September 23, 2010

Dividen AS1M Sebanyak 6.38 Sen Seunit


KUALA LUMPUR, 23 September (Bernama) - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sulung sebanyak 6.38 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010.

"Ini melibatkan pembayaran sebanyak RM204.67 juta dan akan memberi manfaat kepada 259,162 pemegang unit yang secara kolektif memiliki 4.02 billion unit AS 1Malaysia," kata pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ahmad Sarji berkata hingga 21 September, 2010 dana itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM294.05 juta.

Keuntungan daripada jualan saham menyumbang sejumlah rm165.47 atau 56.3 peratus, pendapatan dividen daripada syarikat penerima pelaburan menyumbang RM99.8 juta atau 33.9%, manakala sejumlah RM28.79 juta atau 9.8% diperolihi daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Beliau berkata pengiraan pengagihan pendapatan tahun ini akan diasaskan kepada baki minimum bulanan purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan berkenaan dari 5 Ogos hingga 30 September 2010.

Mengulas prestasi dana itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Hamad Kamapiah Che Othman berkata AS 1Malaysia mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia sejak penubuhannya.

Dana yang dilancarkan pada Julai 2009 itu menawarkan 10 billion unit bagi langganan pada harga tetap RM1 seunit.

Separuh daripada dana tersebut diperuntukkan bagi Bumiputra, 30 peratus bagi kaum Cina, 15 peratus bagi kaum India dan 5 peratus bagi kaum-kaum lain.

Setakat ini 100 peratus kuota yang diberi kepada kaum Cina telah dilanggani manakala unit-unit bagi Bumiputra dan India masih banyak yang belum dilanggani.

"Meskipun masa diambil agak lama, kita sekarang mula menyaksikan minat yang semakin bertambah daripada Bumiputra," katanya dalam satu taklimat media hari ini.

Dari segi purata bulanan, unit-unit bernilai RM30 juta telah dijual kepada bumiputra.

- - BERNAMA

No comments: